Saturday 2 August 2014

Pulau Manukan dan Pulau Sapi di Sabah


Jeti di Pulau Manukan, Sabah

Taman Negara Tunku Abdul Rahman, Sabah

Taman Negara Tunku Abdul Rahman merupakan kawasan perlindungan hidupan liar yang diistiharkan oleh kerajaan Malaysia. Semua hidupan darat dan laut di sini dilindungi oleh perbadanan Taman Negara Tunku Abdul Rahman. Terdapat 5 buah Pulau di sini yang terdiri daripada Pulau Gaya, Pulau Sapi, Pulau Manukan, Pulau Mamutik dan Pulau Sulug.

Pulau Manukan di Sabah

Panorama waktu pagi di Pulau Manukan

Pulau Manukan, Sabah

Terdapat pelbagai aktiviti laut yang boleh dilakukan di Pulau Manukan. Antaranya snorkeling, berkelah bersama keluarga, mencuba scuba doo dan bersiar-siar. Secara peribadi didapati Pulau Manukan jauh lebih bersih berbanding dengan Pulau Sapi kerana gerai makanan yang terhad di sini. Sekiranya tidak membawa keperluan yang mencukupi, anda boleh menyewa tikar, pelampung dan pelatan snorkeling di sini.

Pintu Masuk ke Pulau Manukan

Snorkelling di Pulau Manukan, Sabah

Pulau Sapi di Sabah

Air sejernih kristal di Pulau Sapi, Sabah

Jeti Pulau Sapi (berhadapan dengan Pulau Gaya)

Pulau Sapi, Sabah (berhadapan dengan Pulau Gaya)


Pulau Sapi terletak bersebelahan dengan Pulau Gaya. Anda boleh mencuba aktiviti flying fox dari Pulau Gaya ke Pulau Sapi. Pengusaha bot juga ada memaklumkan sewaktu air surut, anda boleh berjalan kaki menyeberangi Pulau Sapi ke Pulau Gaya dan sebaliknya. Lebih ramai pelancong warga asing di Pulau Sapi berbanding dengan Pulau Manukan dan kawasan ini boleh menjadi terlalu sesak terutamanya pada musim cuti sekolah. Bagi yang gemarkan aktiviti jungle trekking anda boleh melakukan aktiviti kegemaran anda di Pulau Sapi dan juga di Pulau Gaya. 

Jeti Pulau Sapi 

Bot membawa pengunjung ke Pulau Sapi
boleh cuba Flying Fox dari Pulau Gaya ke Pulau Sapi

Panorama Pulau yang Indah

Pulau Sapi, Sabah

Pulau Sapi, Sabah

Setelah penat bekerja dan sesekali dapat melarikan diri ke pulau-pulau di Sabah ni memang best. Air laut yang jernih, pantai yang memutih dengan deruan ombak dapat merehatkan minda buat seketika. Air laut di sini memang jernih. Fish feeding is not allow here (tapi kami buat gak). Ikan berebut nak makan biskut sampai ada yang berenang depan gogle dan kat muka. Batu karang xbanyak kelihatan mungkin kerana kami hanya snorkelling di pesisiran pantai. (xmacam di Lombok, kami menaiki bot dan snorkelling di kawasan yang penuh terumbu karang, dan ternampak 3 ekor penyu). Mungkin xada rezeki di Pulau Sapi dan Pulau Manukan. Jadi kene lah ke sana lagi =)


Bagaimana ke Pulau Manukan dan Pulau Sapi

Bot-bot di Jesselton Point Jetty, Sabah

Telefon pengusaha bot dan maklumkan no. resit sekiranya
mahu mengubah masa di pulau

Tempat menunggu bot di Jesselton Point Jetty


Perjalanan  menaiki bot mengambil masa hanya 20 minit dari jeti  Jesselton Point. Terdapat banyak pengusaha bot yang beroperasi di jeti ini. Sebelum membuat keputusan memilih syarikat pengusaha bot, ada baiknya membuat tinjauan harga terlebih dahulu. Bot yang kami pilih bertolak ke Pulau Manukan pada jam 8.30 pagi. Pastikan anda memakai jaket keselamatan sewaktu berada di atas bot. Beritahu pengusaha bot pukul berapa anda mahu pulang dari pada hari tersebut.

Kami tiba di Pulau Manukan bermula dari jam kira-kira 9.00 pagi hingga jam 12.00 tengah hari. Bot yang akan membawa anda ke Pulau Sapi akan tunggu di Jeti Pulau Manukan dan mereka akan memanggil anda untuk dihantar ke Pulau yang seterusnya. Ada baiknya kalau anda periksa sendiri sama ada bot pengusaha yang dibayar telah tiba atau tidak, takut pula kalau terlepas bot, anda akan rugi masa.

Sekiranya anda mengubah fikiran dan ingin balik lebih awal dari masa yang dijanjikan, anda boleh menelefon pejabat pengusaha bot lebih awal. Contohnya pada mulanya kami ingin pulang pada jam 4.00 petang, akan tetapi setelah kepenatan bermain air, kami membuat keputusan untuk balik pada jam 2.00 petang. Anda boleh menelefon pengusaha bot dan tidak perlu menunggu di pulau sehingga jam 4.00 petang.



Makanan dan Minuman

Kami membeli bekalan makanan dan minuman di Jeti Jesselton. Bagi anda yang telah menempah pakej pulau bersama dengan pakej makan tengah hari, biasanya anda akan makan di Pulau Sapi. Terdapat banyak gerai menjual makanan di Pulau Sapi berbanding Pulau Manukan. Lepas makan jangan lupa kutip semua sampah bagi mengekalkan kebersihan pulau-pulau di sini. Harga makanan di pulau lebih mahal berbanding dengan harga makanan di jeti.