|
Jeti di Pulau Manukan, Sabah |
Taman Negara Tunku Abdul Rahman,
Sabah
Taman Negara Tunku Abdul Rahman
merupakan kawasan perlindungan hidupan liar yang diistiharkan oleh kerajaan
Malaysia. Semua hidupan darat dan laut di sini dilindungi oleh perbadanan Taman
Negara Tunku Abdul Rahman. Terdapat 5 buah Pulau di sini yang terdiri daripada
Pulau Gaya, Pulau Sapi, Pulau Manukan, Pulau Mamutik dan Pulau Sulug.
Pulau Manukan di Sabah
|
Panorama waktu pagi di Pulau Manukan |
|
Pulau Manukan, Sabah |
Terdapat pelbagai aktiviti laut
yang boleh dilakukan di Pulau Manukan. Antaranya snorkeling, berkelah bersama
keluarga, mencuba scuba doo dan bersiar-siar. Secara peribadi didapati Pulau
Manukan jauh lebih bersih berbanding dengan Pulau Sapi kerana gerai makanan
yang terhad di sini. Sekiranya tidak membawa keperluan yang mencukupi, anda
boleh menyewa tikar, pelampung dan pelatan snorkeling di sini.
|
Pintu Masuk ke Pulau Manukan |
|
Snorkelling di Pulau Manukan, Sabah |
Pulau Sapi di Sabah
|
Air sejernih kristal di Pulau Sapi, Sabah |
|
Jeti Pulau Sapi (berhadapan dengan Pulau Gaya) |
|
Pulau Sapi, Sabah (berhadapan dengan Pulau Gaya) |
Pulau Sapi terletak bersebelahan
dengan Pulau Gaya. Anda boleh mencuba aktiviti flying fox dari Pulau Gaya ke
Pulau Sapi. Pengusaha bot juga ada memaklumkan sewaktu air surut, anda boleh
berjalan kaki menyeberangi Pulau Sapi ke Pulau Gaya dan sebaliknya. Lebih ramai
pelancong warga asing di Pulau Sapi berbanding dengan Pulau Manukan dan kawasan
ini boleh menjadi terlalu sesak terutamanya pada musim cuti sekolah. Bagi yang
gemarkan aktiviti jungle trekking anda boleh melakukan aktiviti kegemaran anda
di Pulau Sapi dan juga di Pulau Gaya.
|
Jeti Pulau Sapi |
|
Bot membawa pengunjung ke Pulau Sapi boleh cuba Flying Fox dari Pulau Gaya ke Pulau Sapi |
Panorama Pulau yang Indah
|
Pulau Sapi, Sabah |
|
Pulau Sapi, Sabah |
Setelah penat bekerja dan sesekali dapat melarikan diri ke pulau-pulau di Sabah ni memang best. Air laut yang jernih, pantai yang memutih dengan deruan ombak dapat merehatkan minda buat seketika. Air laut di sini memang jernih. Fish feeding is not allow here (tapi kami buat gak). Ikan berebut nak makan biskut sampai ada yang berenang depan gogle dan kat muka. Batu karang xbanyak kelihatan mungkin kerana kami hanya snorkelling di pesisiran pantai. (xmacam di Lombok, kami menaiki bot dan snorkelling di kawasan yang penuh terumbu karang, dan ternampak 3 ekor penyu). Mungkin xada rezeki di Pulau Sapi dan Pulau Manukan. Jadi kene lah ke sana lagi =)
Bagaimana ke Pulau Manukan dan
Pulau Sapi
|
Bot-bot di Jesselton Point Jetty, Sabah |
|
Telefon pengusaha bot dan maklumkan no. resit sekiranya mahu mengubah masa di pulau |
|
Tempat menunggu bot di Jesselton Point Jetty |
Perjalanan menaiki bot mengambil masa hanya 20 minit
dari jeti Jesselton Point. Terdapat
banyak pengusaha bot yang beroperasi di jeti ini. Sebelum membuat keputusan
memilih syarikat pengusaha bot, ada baiknya membuat tinjauan harga terlebih
dahulu. Bot yang kami pilih bertolak ke Pulau Manukan pada jam 8.30 pagi.
Pastikan anda memakai jaket keselamatan sewaktu berada di atas bot. Beritahu
pengusaha bot pukul berapa anda mahu pulang dari pada hari tersebut.
Kami tiba di Pulau Manukan bermula
dari jam kira-kira 9.00 pagi hingga jam 12.00 tengah hari. Bot yang akan
membawa anda ke Pulau Sapi akan tunggu di Jeti Pulau Manukan dan mereka akan
memanggil anda untuk dihantar ke Pulau yang seterusnya. Ada baiknya kalau anda
periksa sendiri sama ada bot pengusaha yang dibayar telah tiba atau tidak,
takut pula kalau terlepas bot, anda akan rugi masa.
Sekiranya anda mengubah fikiran
dan ingin balik lebih awal dari masa yang dijanjikan, anda boleh menelefon
pejabat pengusaha bot lebih awal. Contohnya pada mulanya kami ingin pulang pada
jam 4.00 petang, akan tetapi setelah kepenatan bermain air, kami membuat
keputusan untuk balik pada jam 2.00 petang. Anda boleh menelefon pengusaha bot
dan tidak perlu menunggu di pulau sehingga jam 4.00 petang.
Makanan dan Minuman
Kami membeli bekalan makanan dan
minuman di Jeti Jesselton. Bagi anda yang telah menempah pakej pulau bersama
dengan pakej makan tengah hari, biasanya anda akan makan di Pulau Sapi.
Terdapat banyak gerai menjual makanan di Pulau Sapi berbanding Pulau Manukan. Lepas
makan jangan lupa kutip semua sampah bagi mengekalkan kebersihan pulau-pulau di
sini. Harga makanan di pulau lebih mahal berbanding dengan harga makanan di
jeti.