Tuesday, 29 July 2014

Makanan dan Penginapan di Bandar Ho Chi Minh, Vietnam

Makanan Halal di Ho Chi Minh city, Vietnam

Rombongan kami ditemani seorang pemandu pelancong warga Vietnam dan beragama Islam. Kami panggil dia Ustaz sahaja kerana dia pernah menetap di Kelantan dan menuntut di sekolah Pondok di Kelantan.  Mencari makanan halal tidak sukar bagi kami kerana Ustaz sedia menunjukkan lokasi makanan halal kepada kami. Terdapat banyak restoran makanan halal di sekitar Ben Tanh Market. Selain di sini kami juga mengunjungi menyusuri Sungai Mekong dan singgah makan di sebuah restoran makanan halal di sana. 



Menu Makanan Halal di Vietnam


Kebanyakkan restoran yang kami lawati menyediakan hidangan ikan sebagai menu utama. Sampai 4 hari makan ikan terasa muak juga. Sup dengan campuran serai dan daun ketumbar juga disediakan (mungkin ni rahsia perempuan di Vietnam kurus-kurus belaka). Anda juga boleh mencuba menu mi sup Vietnam. Mi yang digunakan berasaskan tepung beras dan sangat lembut. Rasanya sangat berbeza dengan bihun yang kita makan di Malaysia. 


Kami juga dimaklumkan terdapat beberapa buah restoran di sekitar Ben Thanh Market mengambil bekerja di bahagian hidangan yang terdiri dari pekerja Muslim akan tetapi tukang masak mereka bukan Muslim. Jadi berhati-hatilah dengan restoran yang anda mahu kunjungi. Memelihara halal-haram makanan itu menjadi tanggungjawab kita kerana kita berada di Negara yang majoriti rakyatnya bukan beragama Islam.

Harga Makanan dan Minuman

Kami dapati harga makanan dan minuman di sini agak mahal. (Tidak diketahui sama ada mahal disebabkan tumpuan pelancong atau sememangnya makanan dan minuman di sini sememangnya mahal). Contohnya sewaktu sarapan pagi sekeping roti canai berharga RM6.00 dan air kopi susu RM6.00 segelas. 




Minuman Kopi Susu

Selama 4 hari di sana kami telah ketagihan dengan kopi susu Vietnam kerana rasanya yang sangat sedap. Setiap kali singgah makan, kami akan memesan kopi susu Vietnam. Anda juga boleh membeli kopi untuk dibawa pulang sebagai buah tangan. Ada dalm kalangan kami yang cuba belajar cara membuat kopi ini. Tapi rasanya tetap tidak sama seperti yang kami cuba di Vietnam. 


Hidangan Zaman Perang Vietnam

Semua orang tahu tentera Amerika yang dikatakan kuat sebenarnya tewas dengan tentera Vietnam. Anda boleh mencuba hidangan ubi rebus bersama dengan kacang tumbuk dan gula yang disediakan di kawasan Chu Chi Tunnel sebuah tapak perang tinggalan zaman Perang Vietnam. Hidangan ini dimakan oleh orang-orang Vietnam semasa zaman perang. Hidangan ubi rebus ni dihidang bersama dengan air teh panas tanpa gula (diet nak kurus ni). 







Diet Wanita Vietnam

“Ustaz, kenapa perempuan Vietnam kurus-kurus?”


(Betul dorg mmg kurus, pinggang macam budak sek ren)...
…kata Ustaz, mereka makan nasi dalam jumlah yang sangat minimum. Hidangan makanan di sana banyak berasaskan sayur-sayuran dan ikan. Pada sebelah petang dan malam, kaum wanita Vietnam hanya makan ikan tanpa nasi dan sayur sayuran. Contohnya, dalam perjalanan balik dari tempat kerja, mereka singgah dikedai dan membeli sayur-sayuran yang dipotong kecil-kecil dan dibalut dengan kulit popia buatan Vietnam. Ha…sebab tu la dorg kurus. Bagi pengunjung yang memakai pakaian bersaiz XL dan ke atas, memang sukar mendapatkan pakaian bersaiz besar di sini. 



Penginapan

Kami meninap di Hotel Thanh Lien yang terletak kurang 1 km dari Ben Thanh Market. Hotelnya selesa dengan perkhidmatan yang bermutu. Terdapat sebuah kedai sebaneka berhadapan dengan hotel ini. Ia memudahkan kami untuk mendapatkan barangan keperluan di sini.